Kembali Diminati, A&W PJ Terpaksa Akur Tinggal Beberapa Bulan Sebelum Ditutup

195

55 tahun bukanlah tempoh masa yang sekejap.

 

Untuk francais restoran seperti A&W untuk bertahan selama itu, ia adalah satu pencapaian yang diimpikan oleh mana-mana pemilik restoran dan kafe.

Berita mengenai penutupan cawangan ikonik A&W di Petaling Jaya (bersebelahan dengan stesen LRT dan Menara Amcorp) telah beberapa kali muncul.

Disebabkan sokongan yang tak berbelah bahagi oleh peminat A&W, ia berjaya dikekalkan dan jenama francais itu kembali diminati semula tatkala banyak saingan baru muncul.

Namun, A&W nampaknya perlu akur apabila mereka mengumumkan baru-baru ini mengenai penutupan cawangan Petaling Jaya itu.

Ia bukan disebabkan kurang mendapat sambut tetapi ia demi memberi laluan kepada projek pembangunan di tapak tersebut.

Kami difahamkan bahawa tanah tersebut yang dimiliki oleh Inter Mark Resources Sdn Bhd sebelum ini telah dipajak kepada Kasmuncak Holdings Sdn Bhd yang merupakan pemilik kepada rangkaian A&W di Malaysia sebelum ia diambil semula.

Walaupun cawangan kedua A&W itu hanya berbaki kira-kira 6-8 bulan saja lagi sebelum penutupannya, A&W turut mengumumkan mereka akan membuka lebih 20 cawangan baru di seluruh Malaysia sepanjang tahun ini untuk memudahkan pelanggan mereka merasai menu sedap daripada mereka.