Penerbit Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal Kongsi Cabaran Hantar Pencalonan Sendiri Ke Anugerah Oscars

32

Satu lagi kejayaan besar yang diraih oleh filem animasi tempatan apabila Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal dipilih menjadi calon awal dalam Anugerah Akademi atau lebih dikenali sebagai Oscars ke-92 bagi kategori Filem Animasi Terbaik.

Menurut temubual oleh wakil Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), pihak Les's Copaque berhadapan dengan cabaran untuk menghantar pencalonan filem tersebut ke Los Angeles, Amerika Syarikat kerana mereka hanya mempunyai waktu yang singkat iaitu enam hari sebelum tarikh tutup.

Penganjur meminta sebanyak 300 keping DVD untuk diedarkan kepada juri. Sekiranya ia dihantar melalui pos, DVD tersebut mungkin akan sampai lambat dan sekali gus merisikokan penyertaan akan ditolak.

Jadi, pihak mereka mengambil keputusan untuk menerbangkan kakitangan syarikat ke Los Angeles bagi memastikan DVD itu sampai kepada pihak penganjur sebelum tarikh tutup.

Filem animasi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal mencatatkan sejarah apabila menjadi filem pertama negara bagi kategori tersebut yang berjaya menempatkan diri dalam senarai 32 calon akhir daripada ratusan penyertaan yang diterima dari seluruh dunia.

Hantar wakil sebagai calon persendirian

"Apabila menghantar sendiri pencalonan, penerbit filem perlu mematuhi beberapa syarat seperti filem berkenaan wajib ditayangkan selama seminggu di Los Angeles dan setiap hari perlu tiga slot tayang,"

"Untuk memenuhi syarat berkenaan, ia memakan kos yang agak tinggi itu sekitar 21000 USD (kira -kira RM85 000),"

"Saya turut berdepan kekangan waktu ketika hendak hantar penyertaan. Ketika itu cuma tinggal enam hari lagi tarikh tutup. Saya tanya FINAS, filem apa yang hendak dihantar tetapi mereka masih belum ada keputusan kerana jawatankuasa yang diwujudkan tidak lantik ahli lagi,"

"Sehari selepas ahli jawatankuasa dilantik, FINAS maklumkan mereka memilih filem dokumentari M For Malaysia. Jadi , apabila FINAS pilih filem itu, filem saya kena masuk sebagai calon persendirian, waktu itu hanya tinggal empat hari sebelum tarikh tutup,"

"Masa yang ada tidak mencukupi untuk kita pos 300 keping DVD untuk diedarkan kepada juri-juri. Jadi saya ambil keputusan menerbangkan pekerja ke sana bagi memastikan Upin dan Ipin sempat masuk pencalonan awal," jelas Hj Burhan, penerbit filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal.

Gagal ke Anugerah Oscars

Walau bagaimanapun, menurut Harian Metro semalam, filem tersebut gagal melangkah ke pencalonan akhir Oscars dan Pengarah Isi Kandungan Kreatif Les' Copaque Production, Nur Naquyah Burhanuddin berkata, pihaknya tidak berasa kecewa sebaliknya akan terus menghasilkan karya animasi terbaik untuk dibawa ke peringkat antarabangsa.

“Filem ini adalah filem animasi Malaysia pertama yang disenarai pendek dalam acara anugerah itu dan ia menjadi kebanggaan buat kami. Selepas ini, ada lebih banyak lagi karya animasi daripada Les’ Copaque,” jelasnya lagi.

Pengumuman senarai calon Oscars dibuat menerusi laman web dan saluran YouTube Oscars sekitar jam 9 malam tadi dan lima filem yang tercalon dalam kategori itu adalah How To Train Your Dragon, The Hidden World, I Lost My Body, Klaus, Missing Link dan Toy Story 4.

Apa-apa pun kami pasti rakyat Malaysia tetap berbangga dengan kejayaan yang diraih oleh filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal kerana walaupun tidak berjaya menjadi top 5 dalam Anugerah Oscars, namun setidak-tidaknya sudah menjadi antara 32 filem terbaik dunia bagi pencalonan tersebut.

Kami berharap agar pihak produksi Les' Copaque terus berusaha dalam terus menghasilkan filem-filem animasi yang berjaya menembusi pasaran dunia.

Sumber: Pit Firdaus & Harian Metro